3 comments

Kalau Tak Mampu Bayar, Jangan Pinjam Ah Long


Kebelakangan ini kita sering mendengar berita mengenai keganasan Ah Long terhadap peminjam-peminjamnya.Pelbagai bentuk keganasan seperti ugutan, rampasan harta benda, penderaan fizikal atau mental dan yang terbaru adalah kes di mana peminjam dikurung serta dirantai seumpama binatang.

Walaupun sedar akan bahaya Ah Long, namun kesedaran masyarakat belum cukup dan masih lagi terdapat kes yang sama berlaku saban hari seolah-olah telah menjadi asam garam dalam kehidupan masyarakat.

Apa yang ingin saya utarakan di sini adalah mengapa mereka masih mahu meminjam daripada Ah Long? Tiadakah sumber lain yang boleh memberi pinjaman kepada mereka selain daripada Ah Long? Jawapannya adalah ya. Tetapi pelbagai syarat serta prosedur termasuklah karenah birokrasi oleh institusi pemberi pinjaman menyebabkan mereka lebih cenderung untuk meminjam daripada Ah Long.

Sebagaimana yang kita ketahui, syarat untuk meminjam daripada Ah Long sangat mudah. Bakal peminjam hanya perlu menyediakan salinan kad pengenalan, gambar berukuran pasport, tanpa penjamin dan kelulusan serta merta. Tiada penyata pendapatan atau Borang J, surat jaminan dan pelbagai dokumen lain yang meremehkan. Inilah punca utama mereka lebih senang berurusan dengan Ah Long.

Apabila berlaku kes di mana peminjam diganggu Ah Long kerana tidak mampu membayar balik pinjaman, kita cepat-cepat menunding jari kepada Ah Long. Pelbagai akta dan operasi diwujudkan untuk membanteras kegiatan Ah Long. Tapi jika kita renungkan, tidakkah usaha ini hanya satu tindakan yang sia-sia. Kes tetap akan berlaku walaupun banyak masa dan wang ringgit telah dibelanjakan kerajaan.

Sebenarnya kita telah bersikap berat sebelah. Kita membela mereka yang tidak mampu membayar balik pinjaman tapi bagaimana pula dengan Ah Long yang telah memberi pinjaman kepada mereka? Adakah ini adil buat mereka? Sudahlah duit mereka hangus kini mereka diburu pula oleh pihak polis. Mereka akan rugi sekiranya peminjam tidak membayar semula wang mereka dan oleh kerana tiada hitam putih berhubung pinjaman tersebut maka tiada tindakan undang-undang yang boleh mereka ambil untuk menuntut kembali wang mereka. Maka hanya satu kaedah sahaja untuk mereka. Menggunakan kekerasan.

Ada dua kes yang saya temui berhubung pinjaman Ah Long. Kes pertama melibatkan kenalan saya yang menghadapi masalah kewangan. Beliau telah diisytihar bankrap kerana gagal membayar balik pinjaman bank. Beliau ingin berniaga untuk menampung keluarga namun tiada institusi kewangan yang sudi memberi pinjaman kepada orang yang telah disenarai hitamkan seperti beliau. Jadi beliau meminjam daripada Ah Long untuk mendapatkan modal berniaga. Namun perniagaannya gagal dan beliau gagal membayar semula pinjaman tersebut. Beliau melarikan diri dari rumah bersama keluarga dengan sehelai sepinggang kerana tidak mahu dikesan Ah Long. Kini beliau telah menetap di sebuah negeri lain dan sehingga kini Ah Long tidak mencari beliau. Adakah tindakan sebegini adil untuk Ah Long tersebut? Tahu pinjam tapi bila tidak mampu membayar, melarikan diri.

Kes kedua juga melibatkan kenalan saya yang berniaga makanan di sebuah bandar di utara. Beliau mengakui yang beliau telah meminjam daripada 5 Ah Long untuk modal perniagaannya dan Alhamdulillah kesemua pinjaman tersebut telah dilangsaikan. Tiada sebarang penipuan dan penganiayaan kerana pinjaman dibayar mengikut masa yang ditetapkan.

Jadi ingin sekali saya tekankan di sini sekiranya anda rasa tidak mampu membayar balik, maka jangan sekali-kali meminjam. Samalah juga halnya dengan institusi kewangan lain seperti bank, Mara, PTPTN dan sebagainya. Anda bernasib baik kerana institusi seperti ini hanya akan menyenarai hitamkan anda dan paling teruk sekalipun anda diisytihar bankrap. Bagaimana jika mereka menggunakan kaedah yang sama seperti Ah Long? Pasti senarai nama yang sering keluar di ruangan notis tuntutan pinjaman di akhbar tidak akan senang duduk.

Oleh itu berfikirlah dengan akal yang waras. Sekiranya kerajaan hanya melindungi peminjam-peminjam liat ini, mereka pasti tidak insaf kerana mereka tahu mereka akan selamat. Selamat dari ancaman Ah Long dan selamat dari membayar hutang! Saya ingin menyarankan agar peminjam Ah Long turut dikenakan tindakan kerana merekalah punca kepada keganasan Ah Long. Begitu barulah dikatan adil kerana `jika tiada angin, masakan pokok boleh bergoyang`
read more

Hadith