Krisis Gula Membawa Beberapa Kebaikan




Krisis kekurangan bekalan gula pada masa kini dapat menyedarkan kita akan kepentingan sebenar bahan makanan yang manis itu kepada kita. Sudah tiba masanya untuk kita tidak berlebihan dalam penggunaan manisan gula dalam makanan kita, selain itu kebaikan krisis membawa kepada beberapa implikasi positif dalam pembinaan kekuatan mandiri negara kita seperti pengkomersialan gula alternatif yang lebih berkhasiat dari sumber palma dan kanji, pengkajian semula pemerosesan molasses mentah kepada gula putih yang lebih sihat dan menstrategi semula kaedah pengeluaran gula untuk kegunaan sendiri.
Mulai saat ini kita tidak boleh lagi leka dan alpa terhadap keperluan mandiri atau survivaliti negara kita dalam penghasilan bahan makanan. Krisis gula adalah contoh kecil sahaja jika dibandingkan dengan kesusahan yang bakal kita hadapi saat darurat seperti perang dunia. Berkenaan dengan gula, sebenarnya negara kita amat kaya dengan sumber asli yang boleh digunakan sebagai penganti gula tetapi akibat manipulasi pasaran dan orang tengah, sumber asli tersebut dipinggirkan dan menjadikan manisan gula pasir sebagai sumber utama pemanis di dalam negara kita. Sumber asli manisan boleh diperolehi daripada tebu biasa dan air nira pelbagai pokok palma seperti kelapa, kabung dan nipah. Di negara Arab, pokok kurma juga boleh diguna untuk menghasil manisan gula. Dan berkemungkinan besar, pokok kelapa sawit juga berpotensi untuk digunakan untuk tujuan yang sama.
Monopoli penggunaan gula pasir boleh dikurangkan jika harga pasaran gula alternatif dijual lebih rendah daripada gula pasir. Ini boleh dilakukan melalui mekanisme kawalan harga kerajaan. Sebagai contoh, katakan harga kawalan bagi gula kabung, gula melaka dan gula merah ( yang tidak dibungkus di kilang ) ditetapkan berharga RM 1.20 sekilogram. Ini akan memberi daya tarikan kepada pengguna untuk menggunakan gula alternatif dalam masakan dan makanan. Manakala pengeluaran sumber tersebut di peringkat desa akan berganda secara automatik memberi hasil lumayan kepada petani desa. FAMA boleh bertindak sebagai pengedar dan agen utama pengumpulan sumber gula asli tersebut. Lama-kelamaan, pengeluaran sumber gula asli boleh menjadi perusahaan desa yang menguntungkan kerana tingginya permintaan di pasaran. Petani desa tidak akan kehampaan jika menjadikan tanaman kelapa, kabung, nipah dan tebu biasa sebagai tanaman sara diri. Manakala tanah terbiar akan digunakan sepenuhnya.
Pengunaan proses bioteknologi – kanji ditukarkan menjadi manisan gula juga boleh dilakukan jika terdapat keperluan kearah itu. Asas teknologi tersebut sememangnya sudah ada dalam amalan budaya asli kita dimana teknologi itu dipraktikkan dalam penghasilan tapai beras dan tapai ubi kayu yang sudah berusia beratus tahun diturunkan zaman berzaman. Penyelidikan lanjut untuk mengekstrakkan sumber pemanis dalam bentuk gula hablur perlu dilakukan. Sumber gula daripada proses fermentasi asli dipercayai amat berkhasiat dan berpotensi untuk menjadi produk makanan organik yang bernilai tinggi.
Diharapkan beberapa pencadangan ini boleh merevolusikan teknologi dan kuasa pasaran sebenar yang ada ditangan kita semua sebagai pengguna dan pengeluar.

0 comments:

Catat Ulasan

Hadith